Khamis, 15 Januari 2009

P.036:Milik SiapaKah Kerusi Ini?

Esok 17 Januari 2009 adalah tarikh keramat bagi penduduk Parlimen Kuala Terengganu kerana sekali lagi diberi peluang bagi memilih wakil rakyat mereka setelah wakil rakyat yang terdahulu dijemput menemui ilahi secara tiba-tiba. Penyertaan calon bebas dalam pilihanraya kali ini dapatlah disimpulkan melukut ditepi gantang, ianya tidak memberi apa-apa kesan terhadap proses pengiraan undi nanti, saya tidak rasa, undi yang akan diperolehi oleh Asharuddin Mohamad, calon bebas yang memakai lambang buku akan melebihi undi yang pernah diperolehi oleh Nenek Maimun, calon bebas didalam parlimen yang sama semasa pilihanraya umum tempohari.

Pertempuran sebenarnya di medan demokrasi diatas padang parlimen Kuala Terengganu adalah diantara dua musuh tradisi pantai timur iaitu parti PAS dan UMNO atau pun Barisan Nasional. Pertandingan kali ini menyaksikan wakil PAS iaitu Abdul Wahid Endut diberi peluang untuk berhadapan dengan calon UMNO Wan Farid bin Wan Salleh. Pada perkiraan saya pengundi Kuala Terengganu kebanyakkan dari mereka tidak berparti. Boleh dikatakan mereka dari golongan berada diatas pagar. UMNO tidak boleh berlapik dada mengatakan Kuala Terengganu adalah kubu kuat mereka, begitu juga dengan PAS, Pengundi Kuala Terengganu terdiri dari mereka yang terpelajar dan sentiasa menilai perkembangan pilihanraya, isu-isu yang diutarakan oleh kedua parti dianalisa dan akan diterjemahkan melalui kertas undi. Itulah pengundi di P36, justeru itu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila kerusi parlimen Kuala Terengganu pernah diwakili oleh 4 parti yang berbeza iaitu, PAS, Semangat 46 , Barisan Nasionaldan juga suatu ketika dulu pernah diwakili oleh Dato’Onn dari Partai Negara.

Amat mengejutkan sepanjang kempen pilihanraya kecil, dapat dilihat perubahan sikap pengundi cina terhadap PAS, penerimaan mereka terhadap parti yang dianggap radikal Islam agak ketara, boleh dilihat sepanjang kempen pilihanraya, pengundi cina yang terdiri daripada golongan muda membawa bendera PAS, mereka juga sudah menjadi sebahagian daripada ribuan pendengar ditempat-tempat ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.senario yang tidak pernah berlaku dan tidak pernah terbayang di minda akan berlaku, Barisan Nasional seharusnya melihat perubahan ini dari sudut lebih serius, mereka tidak boleh memandang enteng perkara ini, 60% undi cina sudah berada dalam tangan PAS berbanding dahulu hanya 35%. Jika keadaan ini berterusan sehingga hari pengundian esok, PAS akan memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu kerana selama ini pengundi cinalah yang selalu menyelamatkan BN.

Pada pengamatan saya sepanjang berada di Kuala Terengganu, terlalu sukar untuk Barisan Nasional mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, walaupun pelbagai taktik dan strategi telah dilakukan oleh pihak UMNO namun keperatusan untuk berjaya amat tipis. Barisan Nasional memerlukan pendekatan baru untuk memujuk rakyat agar terus bersama mereka, budaya rasuah politik setiap kali berlangsung pilihanraya tidak banyak membantu, hanya sekadar menghabiskan wang rakyat dan memenuhkan poket kroni-kroni. Barisan Nasional sebenarnya tidak lagi menjadi parti mesra rakyat, tempat mereka telah diambil oleh Pakatan Rakyat. Najib Razak sepatutnya menyedari perkara ini, banyak janji yang ditabur semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh belum ditunaikan, kini menabur janji pula di Kuala Terengganu.

Kepada pengundi-pengundi Parlimen Kuala Terengganu, kini masa sudah tiba untuk anda membuat pemilihan, pilihan sebenarnya di tangan anda, sebagaimana pengundi Permatang Pauh membuat pilihan untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat, anda juga berhak membuat pilihan yang sama kerana ditangan anda bakal merubah landskap politik negara.

Isnin, 12 Januari 2009

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

Hanya tinggal tidak sampai seminggu lagi, para pengundi di P36 Kuala Terengganu akan memilih salah seorang daripada tiga calon mewakili suara hati mereka di Parlimen. Menyusuri blog-blog politik, sepanjang tempoh kempen, kita akan dapati keadaan seolah-olah memihak kepada calon daripada PAS. Blog-blog yang diterajui oleh pendokong Barisan Nasional khususnya daripada UMNO nampaknya kelayuan dan kekeringan modal didalam mematahkan hujah-hujah yang diutarakan oleh blogger daripada Pakatan Rakyat. Mungkin mereka yang didalam parti kerajaan masih lagi terleka dan tidak menyedari internet adalah medium baru dan penting masyarakat Malaysia mencari maklumat. Sebenarnya bukan sedikit laman web yang pro kerajaan telah diwujudkan selepas keputusan pilihanraya ke12, namun ianya tidak diselenggarakan dengan baik serta tidak dikemaskini, kalau ada pun, tiada hujah-hujah kukuh yang dilontarkan agar pengundi dapat membuat penilaian yang adil terhadap sesuatu isu.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat khususnya PAS dan PKR sentiasa mendahului, bloggers daripada kedua-dua parti sentiasa mengisi blog-blog mereka dengan isu-isu terkini dan relevan, para pengundi yang menjengok blog mereka sudah pasti mempercayai intipati maklumat tersebut seandainya isu-isu yang dikemukakan gagal dijawab oleh pihak kerajaan.

Pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu sebenarnya amat penting bagi kedua pihak yang bertanding. UMNO sama sekali tidak boleh kehilangan kerusi tersebut demi maruah dan moral yang semakin jatuh hasil daripada penolakkan rakyat. Hakikat ini seharusnya dilihat UMNO dengan hati yang terbuka. UMNO tidak perlu berselindung, realitinya setelah sekian lama memerintah negara, banyak kepincangan telah dihidu oleh rakyat. Rakyat telah melontarkan suara hati mereka melalui undi agar pihak kerajaan menyedari dan bersikap lebih perihatin terhadap kebajikkan rakyat. UMNO bukan saja memerlukan perubahan tetapi wajib untuk berubah.

PAS pula amat memerlukan kemenangan didalam pilihanraya kecil ini, selain tidak mahu dipandang rendah oleh rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, Kemenangan itu nanti akan menjadi penanda aras kekuatan parti di negeri Terengganu. Kemenangan calon PAS juga akan menutup dakyah dan tohmahan BN khususnya UMNO bahawa isu hudud telah menyebabkan golongan cina berada didalam ketakutan dan tidak mengundi PAS. Paling penting Pakatan Rakyat tidak berpecah hanya kerana beberapa dasar yang menjadi pencanggahan pendapat sesama sendiri.

Walauapapun keputusannya nanti, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian, kita mengharapkan medan pilihanraya ini bukanlah satu pentas untuk kita menunjukkan lagak. Berilah peluang kepada para pengundi di P36 Kuala Terengganu keluar mengundi dalam keadaan yang baik dan tanpa takut. Merekalah yang sebenarnya penentu kepada kemenangan calon tetapi jangan lupa kitalah yang memberi mereka petunjuk siapa yang sesuai menjadi pilihan mereka.

Selamat Mengundi

Ahad, 11 Januari 2009

Manafaatkan Alam Siber

Tanpa kita menyedari, dunia sudah terlalu banyak berubah, seiring dengan peningkatan usianya, dunia makin matang, kematangan usia dunia menyebabkan kebanyakkan penghuninya semakin maju dan sentiasa mencuba sesuatu yang baru, manakala bagi yang selesa dengan apa yang ada, tanpa disedari lama kelamaan akan ketinggalan jauh dibelakang.

Kepesatan dan kemajuan alam siber adalah satu contoh kemajuan yang dicapai oleh dunia pada masa ini. Alam siber yang dahulunya agak asing bagi masyarakat dunia ketiga, kini menjadi satu medan untuk berinteraksi sesama sendiri, melangkau batas sempadan dan telah menjadi medan perniagaan secara pesat dan aktif.

Landskap politik Malaysia juga telah mengalami perubahan hasil daripada tulisan-tulisan para blogger yang menjadikan alam siber sebagai medan menyampaikan maklumat alternatif dalam memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan mereka yang semakin terhakis akibat daripada beberapa tindakan di pihak kerajaan. Hasil ‘buahtangan’ penulis-penulis blog menyebabkan kali pertama didalam sejarah pilihanraya, kerajaan Barisan Nasional telah kehilangan majority 2/3 selepas pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini.

Institusi perbankan telah menjadikan dunia siber sebagai caragaya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing, tidak menghairankan kini apabila semua urusan pembayaran bil ulitiliti dan juga pemindahan wang ke akaun ketiga boleh dilakukan dimana sahaja dan bila-bila masa tanpa perlu memijakkan kaki ke bank-bank sebagaimana waktu dahulu.


Kecanggihan dunia siber jika diterokai, kita akan dapati terlalu banyak manafaat dan kelebihannya. Disinilah akan bermulanya satu kehidupan baru sekiranya kita ingin mengubah caragaya kehidupan kita. Pelbagai produk telah diiklankan melalui perkhidmatan tanpa sempadan ini. Produk bagi menambahkan pendapatan melalui bermacam-macam jenama cukup laris dipaparkan. Saya adalah salah seorang yang terpikat hati dengan salah satu produk yang diiklankan. Mungkin akibat daripada desakan hidup saya terpaksa mempercayai seterusnya mencuba. Setelah beberapa minggu menyertai kawan-kawan didunia siber, saya bukan sahaja mampu mengatasi bebanan hutang, malah lebih dari itu. Bagaikan satu mimpi, daripada seorang yang hampir bangkrap, rumahtangga pula bagai retak menunggu belah, tiba-tiba saya diberi kekuatan hidup oleh tuhan apabila usaha saya melalui medan ini menampakkan hasil.

Saya bersyukur kepada tuhan, paparan ini hanyalah sekadar ingin mengingatkan kepada pembaca supaya jangan mudah berputus asa jika ditimpa sesuatu musibah, kita seharusnya meneliti setiap langkah yang diatur, mungkin ada cacat celanya sehingga menyebabkan kita rebah dan jatuh tersungkur, manusia yang bijak akan sentiasa merebut peluang dan menggunakan setiap kegagalan bagi menempa semula kejayaan. Ingatlah Yang Bulat Tidak Akan Datang Bergolek Dan Yang Pipih Tidak Akan Datang Melayang. Fikir-fikirkan lah.