Isnin, 12 Januari 2009

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

Hanya tinggal tidak sampai seminggu lagi, para pengundi di P36 Kuala Terengganu akan memilih salah seorang daripada tiga calon mewakili suara hati mereka di Parlimen. Menyusuri blog-blog politik, sepanjang tempoh kempen, kita akan dapati keadaan seolah-olah memihak kepada calon daripada PAS. Blog-blog yang diterajui oleh pendokong Barisan Nasional khususnya daripada UMNO nampaknya kelayuan dan kekeringan modal didalam mematahkan hujah-hujah yang diutarakan oleh blogger daripada Pakatan Rakyat. Mungkin mereka yang didalam parti kerajaan masih lagi terleka dan tidak menyedari internet adalah medium baru dan penting masyarakat Malaysia mencari maklumat. Sebenarnya bukan sedikit laman web yang pro kerajaan telah diwujudkan selepas keputusan pilihanraya ke12, namun ianya tidak diselenggarakan dengan baik serta tidak dikemaskini, kalau ada pun, tiada hujah-hujah kukuh yang dilontarkan agar pengundi dapat membuat penilaian yang adil terhadap sesuatu isu.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat khususnya PAS dan PKR sentiasa mendahului, bloggers daripada kedua-dua parti sentiasa mengisi blog-blog mereka dengan isu-isu terkini dan relevan, para pengundi yang menjengok blog mereka sudah pasti mempercayai intipati maklumat tersebut seandainya isu-isu yang dikemukakan gagal dijawab oleh pihak kerajaan.

Pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu sebenarnya amat penting bagi kedua pihak yang bertanding. UMNO sama sekali tidak boleh kehilangan kerusi tersebut demi maruah dan moral yang semakin jatuh hasil daripada penolakkan rakyat. Hakikat ini seharusnya dilihat UMNO dengan hati yang terbuka. UMNO tidak perlu berselindung, realitinya setelah sekian lama memerintah negara, banyak kepincangan telah dihidu oleh rakyat. Rakyat telah melontarkan suara hati mereka melalui undi agar pihak kerajaan menyedari dan bersikap lebih perihatin terhadap kebajikkan rakyat. UMNO bukan saja memerlukan perubahan tetapi wajib untuk berubah.

PAS pula amat memerlukan kemenangan didalam pilihanraya kecil ini, selain tidak mahu dipandang rendah oleh rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, Kemenangan itu nanti akan menjadi penanda aras kekuatan parti di negeri Terengganu. Kemenangan calon PAS juga akan menutup dakyah dan tohmahan BN khususnya UMNO bahawa isu hudud telah menyebabkan golongan cina berada didalam ketakutan dan tidak mengundi PAS. Paling penting Pakatan Rakyat tidak berpecah hanya kerana beberapa dasar yang menjadi pencanggahan pendapat sesama sendiri.

Walauapapun keputusannya nanti, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian, kita mengharapkan medan pilihanraya ini bukanlah satu pentas untuk kita menunjukkan lagak. Berilah peluang kepada para pengundi di P36 Kuala Terengganu keluar mengundi dalam keadaan yang baik dan tanpa takut. Merekalah yang sebenarnya penentu kepada kemenangan calon tetapi jangan lupa kitalah yang memberi mereka petunjuk siapa yang sesuai menjadi pilihan mereka.

Selamat Mengundi

Tiada ulasan:

Catat Komen