Rabu, 4 Februari 2009

Kerajaan Pakatan Rakyat Terkubur Di Perak

Akhirnya kemelut politik Perak kian rumit, Menteri Besar Dato’Seri Nizar Jamakuddin akhirnya membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi memberi laluan kepada satu pilihanraya tanpa mendapat perkenan Sultan Perak terlebih dahulu. Dalam keadaan sekarang kelebihan memihak kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Dato’Seri Najib Tun Razak apabila 2 Adun PKR yang pernah hilang telah mengisytiharkan akan menyokong kerajaan baru BN di Perak walaupun mereka masih berstatus Adun Bebas, ditambah pula Timbalan Speaker Hee Yet Fong, Adun Jelapang dari DAP turut sama keluar parti dan raja katak yang baru dilahirkan Adun Bota kembali ke pangkuan UMNO. Kedudukan kerusi di Perak sekarang, Barisan Nasional telah mengatasi Pakatan Rakyat dengan majoriti 3 kerusi.

Bermula dari sekarang semua keputusan tertakluk kepada kuasa sultan samada ingin membubarkan dewan atau merestui pembentukkan kerajaan baru di Perak oleh Barisan Nasional. Kesilapan Dato Nizar Jamaluddin apabila membubarkan dewan negeri tanpa merujuk kepada sultan terlebih dahulu akan merumitkan lagi keadaan. Seorang pakar Undang-undang menyatakan didalam keadaan sekarang sultan sendiri tidak boleh membubarkan dewan negeri kerana telah terdapat satu parti yang telah mendapat sokongan majoriti ahli dewan, ini bermakna Sultan hendaklah memperkenankan pembentukkan kerajaan baru di Perak.

Kehilangan 2 adun daripada PKR yang juga exco kerajaan negeri diikuti dengan pula kehilangan Timbalan Speaker walaupun tidak lama, sepatutnya sudah dapat dibaca arus politiknya oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Didalam politik selalunya spekulasi akan berakhir dengan realiti, inilah yang berlaku di Perak, agak malang bagi Dato’seri Nizar menghadapi kemelut ini didalam keadaan tidak sempat menyambut hari ulang tahun pemerintahan Pakatan rakyat di Perak. Mungkin mereka mengira seandainya berlaku lompat parti daripada 2 Adun PKR, Kerajaan Pakatan Rakyat masih lagi stabil dan berfungsi kerana masih memiliki majoriti 1 kerusi, sepatutnya semasa itu, Dato Seri Menteri Besar sudah membubarkan Dewan Undangan, kerana politik UMNO kelebihan satu kerusi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat sudah diibaratkan satu kemenangan bagi UMNO, bila-bila masa UMNO mampu menarik perhatian salah seorang Adun untuk melompat seterusnya membentuk kerajaan.

Kini segalanya terserah kepada Yang Mulia Sultan Perak bagi mencaturkan perkembangan politik di tanah jajahan baginda Perak Darul Ridzuan, apa jua yang berlaku selepas ini samada akan terjadi pilihanraya atau pertukaran kerajaan, itu adalah satu ketentuan ilahi tetapi ketentuan itu berlaku mungkin daripada kealpaan dan kesilapan kita di dalam menconggak sistem politik Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan