Ahad, 8 Februari 2009

PENUBUHAN KERAJAAN HARAM TITIK MULA KEJATUHAN UMNO DI PERAK

Akhirnya apa yang tersirat telah tersurat, ketentuan ilahi terhadap politik Negeri Perak terlaksana sudah. Kerajaan Pakatan Rakyat yang bermenteri besarkan Dato’ Seri Mohd Nizar Jamaluddin akhirnya ditumbangkan dalam satu konspirasi jahat yang melibatkan banyak pihak termasuk golongan istana. Agak malang kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat sebelum sempat meraikan ulangtahun pertama pemerintahan yang hanya berbaki sebulan saja lagi. Didalam menghadapi kemelut ini, ketabahan, kecekalan dan kesabaran jelas kelihatan dari riak wajah Mohd Nizar, menampakkan beliau mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang beriman dan zuhud.

Apa yang telah terjadi di Perak akan tetap dikenang sebagai satu sejarah hitam hancurnya nilai-nilai demokrasi di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi kononnya. Agak malang di dalam peristiwa ini, insitusi beraja turut dilibatkan didalam menjayakan rancangan jahat golongan yang cukup sinonim dengan rasuah. Mungkin mereka berbangga diatas kejayaan meruntuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, namun mereka seharus menyedari kejayaan ini hanyalah berbentuk sementara kerana pada pilihanraya umum ke13 nanti, banyak sarjana politik dan pendapat awam mengatakan UMNO dan BN akan mengalami satu kejutan yang amat dahsyat berhubung dengan keputusan pilihanraya itu nanti. UMNO akan ditolak secara total oleh kebanyakkan rakyat Malaysia di seluruh negara.


Sejarah telah membuktikan kerajaan yang telah terbina atas dasar yang salah, tidak akan kekal lama memerintah. Kerajaan BN Perak dibawah kepimpinan Dato’ Dr Zambry Abdul Kader hanya menunggu masa untuk ditalkinkan. Kerajaan beliau bukan sahaja ‘haram’ pada pandangan mata rakyat Perak tetapi mempunyai ahli-ahli yang tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan kaki rasuah. Hendak tak hendak, mahu tidak mahu, mereka perlu mengakui, Kerajaan BN Perak yang ada kini adalah sumbangan besar daripada dua Adun PKR yang mempunyai selera seks yang tinggi, juga Adun Bota yang telah melompat dan tidak sampai 10 hari melompat lagi, Adun Bota ini cukup istimewa kerana mampu memecahkan rekod peribadi yang dibuat oleh Ibrahim Ali di dalam acara lompat melompat.

Didalam keadaan sekarang, ketenangan berfikir dan kematangan bertindak amat diperlukan, melihat kepada perkembangan di Perak dan juga di laman blog, sebenarnya kita telah memberi lebih ruang kepada musuh untuk bertindak. Menggunakan bahasa kesat mencaci sultan Perak bukanlah jalan terbaik untuk meluahkan kemarahan. Adakala nya apabila kita terlalu emosional, banyak perkara yang dilakukan mengundang bahaya. Musuh sentiasa mencari ruang dan peluang, mereka bukan lagi mahu mencederakan tetapi lebih kepada ingin membunuh, semakin cepat kematian kita, semakin selamat kehidupan mereka, sekarang perang saikologi sedang dimainkan, ada ketika musuh memprovokasi dan kita melenting. ini politik, didalam poltik, ianya sentiasa kotor, siapa yang kuat baik dari sudut kuasa dan minda akan sentiasa didepan dan dianggap pemenang.

Kepada rakyat Perak, biarkanlah kerajaan ‘haram’ BN terus berkuasa buat seketika. Teguhkanlah pendirian kerana dalam tempoh tiga tahun lagi, mereka terpaksa berhadapan dengan rakyat melalui pilihanraya. Dikala itu, bukan UMNO yang berkuasa, tidak juga PAS dan PKR, jauh sekali DAP, sultan sendiri tidak mempunyai hak menentukan, rakyat marhein yang lebih berkuasa, berikanlah pengajaran yang berguna kepada parti UMNO dan BN, bahawa hakikatnya rakyat sudah benar-benar muak, jijik dan benci kepada parti yang mengamalkan prinsip matlamat menghalalkan cara. Berikanlah undi mutlak kepada Pakatan Rakyat demi menyedarkan sultan Perak bahawa tindakan baginda bersekongkol menjatuhkan kerajaan Dato’Seri Nizar Jamaluddin adalah satu kesilapan yang menyebabkan nama baginda akan tercatat didalam sejarah negara sebagai seorang raja yang telah menyebabkan negeri Perak mengalami krisis perlembagaan pada tahun 2009. Dan sejarah ini akan dikenang sampai bila-bila.

Rabu, 4 Februari 2009

Kerajaan Pakatan Rakyat Terkubur Di Perak

Akhirnya kemelut politik Perak kian rumit, Menteri Besar Dato’Seri Nizar Jamakuddin akhirnya membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi memberi laluan kepada satu pilihanraya tanpa mendapat perkenan Sultan Perak terlebih dahulu. Dalam keadaan sekarang kelebihan memihak kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Dato’Seri Najib Tun Razak apabila 2 Adun PKR yang pernah hilang telah mengisytiharkan akan menyokong kerajaan baru BN di Perak walaupun mereka masih berstatus Adun Bebas, ditambah pula Timbalan Speaker Hee Yet Fong, Adun Jelapang dari DAP turut sama keluar parti dan raja katak yang baru dilahirkan Adun Bota kembali ke pangkuan UMNO. Kedudukan kerusi di Perak sekarang, Barisan Nasional telah mengatasi Pakatan Rakyat dengan majoriti 3 kerusi.

Bermula dari sekarang semua keputusan tertakluk kepada kuasa sultan samada ingin membubarkan dewan atau merestui pembentukkan kerajaan baru di Perak oleh Barisan Nasional. Kesilapan Dato Nizar Jamaluddin apabila membubarkan dewan negeri tanpa merujuk kepada sultan terlebih dahulu akan merumitkan lagi keadaan. Seorang pakar Undang-undang menyatakan didalam keadaan sekarang sultan sendiri tidak boleh membubarkan dewan negeri kerana telah terdapat satu parti yang telah mendapat sokongan majoriti ahli dewan, ini bermakna Sultan hendaklah memperkenankan pembentukkan kerajaan baru di Perak.

Kehilangan 2 adun daripada PKR yang juga exco kerajaan negeri diikuti dengan pula kehilangan Timbalan Speaker walaupun tidak lama, sepatutnya sudah dapat dibaca arus politiknya oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Didalam politik selalunya spekulasi akan berakhir dengan realiti, inilah yang berlaku di Perak, agak malang bagi Dato’seri Nizar menghadapi kemelut ini didalam keadaan tidak sempat menyambut hari ulang tahun pemerintahan Pakatan rakyat di Perak. Mungkin mereka mengira seandainya berlaku lompat parti daripada 2 Adun PKR, Kerajaan Pakatan Rakyat masih lagi stabil dan berfungsi kerana masih memiliki majoriti 1 kerusi, sepatutnya semasa itu, Dato Seri Menteri Besar sudah membubarkan Dewan Undangan, kerana politik UMNO kelebihan satu kerusi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat sudah diibaratkan satu kemenangan bagi UMNO, bila-bila masa UMNO mampu menarik perhatian salah seorang Adun untuk melompat seterusnya membentuk kerajaan.

Kini segalanya terserah kepada Yang Mulia Sultan Perak bagi mencaturkan perkembangan politik di tanah jajahan baginda Perak Darul Ridzuan, apa jua yang berlaku selepas ini samada akan terjadi pilihanraya atau pertukaran kerajaan, itu adalah satu ketentuan ilahi tetapi ketentuan itu berlaku mungkin daripada kealpaan dan kesilapan kita di dalam menconggak sistem politik Malaysia.

Isnin, 2 Februari 2009

Adun Behrang & Changkat Jering :Terjerat Dengan Permainan Sendiri

Merujuk kepada tulisan terbaru Mohd Sayuti Omar didalam blog beliau yang bertajuk Sah Dua Pilihan Raya Kecil Akan Diadakan di Perak dan berpandukan kepada Akta Pilihanraya jelas pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Changkat Jering dan Behrang tidak dapat dielakkan lagi . Selepas Speaker Dewan menyerahkan surat menyatakan terdapat kekosongan kerusi bagi kedua dun berkenaan, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) terpaksa mengadakan pilihanraya dalam tempoh 60 hari daripada sekarang. Tentang hasrat kedua Adun berkenaan ingin mencabar kesahihan surat peletakkan jawatan tersebut, ianya bukan satu isu dan perkara tersebut tidak tertakluk dibawah bidang kuasa SPR, mereka boleh berbuat demikian di mahkamah.

Apa yang menarik disini, nasib Adun berkenaan dapatlah disimpulkan umpama lebai malang, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Dikala ini kedua Adun berkenaan sudah tidak berguna lagi kepada UMNO. Selama ini mereka dipujuk, dirayu mungkin juga diugut menyertai UMNO atas dasar gelaran Yang Berhormat yang disandang. Namun sekarang mereka sudah tidak mempunyai apa jua pangkat dan juga kedudukan. Kini mereka sudah tidak mempunyai nilai walaupun satu sen di mata Najib Razak, malah perbicaraan kes rasuah yang bakal dihadapi tidak lama lagi akan menjadi titik mula sebuah kehidupan ngeri di dalam penjara. Manusia yang tidak beramanah sepertimana kedua Adun ini rupanya dibayar ‘cash’ oleh tuhan diatas dunia lagi.

Didalam pilihanraya kecil nanti, kedua Adun ini tidak lagi boleh menjadi calun kepada mana-mana parti kerana Akta Pilihanraya menetapkan mana-mana Ahli Dewan Negara atau Dewan Negeri akan hilang kelayakkan bertanding selama 5 tahun selepas mereka meletakkan jawatan. Bermakna baik calun daripada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional ianya bukan Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Othman Jailu. Inilah hakikat yang terpaksa diterima oleh mereka. Seandainya UMNO memenangi kedua-dua kawasan ini, hasrat Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Othman Jailu untuk mencabar kesahihan surat peletakkan jawatan Adun ke mahkamah akan menjadi angan-angan. UMNO mungkin mempercepatkan hukuman atas kesalahan rasuah dan akan memastikan mereka dihumban ke penjara atas kesalahan yang dilakukan. Inilah nasib yang bakal menimpa mereka.

Pilihanraya kecil di Dun Changkat Jering dan Behrang tidak dapat dielakkan lagi, sekiranya SPR berpegang teguh kepada undang-undang dan tradisi, mereka akan mengisytiharkan kekosongan kerusi Dun berkenaan seterusnya menetapkam tarikh penamaan calun dan pengundian di kawasan berkenaan. Didalam hal ini ketelusan SPR amatlah diharapkan.

Sebenarnya setiap apa yang berlaku ada hikmah yang tersendiri, pakatan yang dikatakan rapuh dikalangan PAS, PKR dan DAP, kini benar-benar sedang diuji dan dicabar. Telatah dan gelagat dua Adun PKR ini sebenarnya memperlihatkan kepada umum tentang baik budi perilaku wakil rakyat dikalangan Parti Keadilan Rakyat. Pakatan Rakyat ibarat seguni padi yang belum ditampi untuk mendapat beras yang baik dan bermutu. Dua Adun ini yang melarikan diri daripada tanggungjawab dan amanah bolehlah diibarat sebagai antah yang tidak berguna dan tidak boleh dimasak. Sebenarnya kita tidak tahu sebanyak mana lagi antah-antah berada didalam guni beras Pakatan Rakyat. Semoga Pakatan Rakyat sentiasa diberi hidayat dan petunjuk oleh Allah dan pemerintahannya di lima buah negeri sentiasa diberkati. Bagi kedua Adun iaitu Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Othman Jailu, ingatlah sepintar mana perancangan anda bersama Perdana Menteri dalam penantian di Pekan, anda sepatutnya lebih mengetahui, Allah adalah sebaik-baik perancang. Dan kini Allah sedang menunjukkan kepada kalian perancangan Dia.

Pilihanraya Di Perak: Pakatan Rakyat Makin Kukuh

Suasana tegang semakin dirasai apabila meneliti perkembangan politik di Perak, Dato Seri Menteri Besar telah berjumpa pihak istana memaklumkan perkembangan politik semasa. Ada juga berita mengatakan Mantan Menteri Besar Dato Tajol Rosli juga beriya-iya ingin memasuki istana. Tidak diketahui atas kapasiti apakah yang melayakkan beliau berjumpa dengan sultan, sedangkan umum mengetahui beliau bukan lagi Ketua Perhubungan UMNO Negeri, apakah beliau tidak menyedari beliau kini setaraf dengan adun-adun yang lain, atau mungkin beliau masih mamai dengan projek 31 Ogos yang tidak kesampaian.

.

Meneliti perkembangan politik Perak ternyata ianya bukan lagi satu sandiwara, bermula daripada kemasukan Adun Bota, disusuli dengan kehilangan dua Adun PKR iaitu Adun Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu, dalam usaha mencari jawapan misteri kehilangan Adun tersebut,masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar yang memberitahu telah menerima surat peletakkan daripada kedua Adun terbabit.

Peletakkan jawatan ini menandakan satu pilihanraya kecil akan berlaku di kedua kawasan ini. Pada awal agak teruja apabila mendengar keputusan ini, dalam keadaan kelam kabut UMNO cuba menangguk di air keruh, membawa kedua Adun ini ke dalam UMNO, tetiba mereka telah mengambil langkah bijak menyerahkan kembali jawatan kepada rakyat, namun apabila penafian telah dibuat oleh kedua Adun terbabit, terasa politik Perak sudah membahang ke peringkat yang amat serius.

Perak bukannya Kelantan, walaupun Kerajaan PAS Kelantan pernah memerintah dengan kelebihan satu kerusi, tetapi Kerajaan PAS Kelantan mampu bertahan sehingga pilihanraya umum ke13. Keadaan ini disebabkan di Kelantan tiada pembentukkan kerajaan campuran, ditambah lagi, Tuan guru Dato Nik Aziz telah meletakkan satu asas yang kukuh dalam diri wakil rakyat PAS. Umno pernah menawarkan jutaan ringgit kepada salah seorang wakil rakyat PAS agar melompat parti bagi membolehkan UMNO membentuk kerajaan di Kelantan pada masa itu.

Asas agama dan taqwa yang ditanamkan selama 18 tahun pemerintahan Tuan Guru menyebabkan duit bukanlah segala-galanya.Ternyata UMNO telah gagal menawan Kelantan menerusi jual beli wakil rakyat dan insya allah UMNO tidak akan dapat mengambil Kelantan sampai bila-bila selagi teras yang telah dibina oleh Tuan Guru Menteri Besar masih berfungsi. Berbanding dengan Negeri Perak, politik di sana belum teruji sepenuhnya, semua wakil rakyat adalah muka-muka baru, mereka mungkin masih tidak mempercayai bahawa sekarang sudah bergelar YB dan telah menjadi kerajaan di Perak.

Ketahanan dan keutuhan peribadi wakil rakyat PR belum teruji dan apabila teruji mereka tertewas, kehilangan dan penafian daripada dua Adun PKR mencerminkan ketewasan akal dan minda wakil rakyat berkenaan dan tidak mustahil ramai lagi yang akan tewas dek ugutan ataupun habuan yang dijanjikan.


Sepertimana artikel sebelum ini, secara peribadi saya beranggapan sewajarnya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan rakyat negeri Perak membuat keputusan. Dalam keadaan UMNO bergelumang dengan kemelut menghadapi pemilihan Mac ini dan mungkin juga akan berlaku perebutan untuk menjadi calun sekiranya berlaku pilihanraya, UMNO akan menjadi sebuah parti yang terus bergolak dan berpecah. Ternyata pada ketika itu UMNO bukan lagi parti yang seharusnya digeruni bagi menghadapi pilihanraya.

Ahad, 1 Februari 2009

DUN Perak dibubarkan?

Terkini:ADUN Behrang & Changkat Jering letak jawatan ADUN

Perkembangan terkini dan mutakhir politik di Perak amat meresahkan Kerajaan Pakatan Rakyat. Kemasukkan ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim, kedalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) rupanya berita gembira yang tidak bertahan lama, ketika berita ini ditulis, Menteri Besar Perak, Dato Seri Mohamad Nizar telah mengumumkan kehilangan dua anggota exco iaitu Jamaluddin Mat Radzi ADUN Behrang dan Mohd Osman Jailu, ADUN Changkat Jering, mereka dikatakan sudah 4 hari gagal dihubungi dan laporan polis akan dibuat berhubung dengan kehilangan mereka.

Misteri kehilangan dua exco ini menimbulkan pelbagai spekulasi . Rata-rata membuat andaian kedua ADUN ini akan keluar daripada PKR seterusnya menyertai UMNO dan seandainya perkara ini betul-betul berlaku bermakna kedudukan kerajaan PR di Perak umpama telur dihujung tanduk. Kerajaan dibawah pimpinan Nizar pada masa itu hanya mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja dan ianya boleh mendatangkan seribu macam bahana terhadap kerajaan. Ternyata kerajaan yang terbentuk cukup rapuh dan mampu tumbang bila-bila masa sahaja.

Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bercakap pasal moral tentang aktiviti melompat parti, bukan sukar meneka mengapalah kedua-dua ADUN PKR melompat kedalam UMNO, dengan tuduhan rasuah yang bakal bermula, kedua ADUN ini terpaksa memikirkan kelangsungan hidup. Ternyata UMNO bijak mengumpan mata kail disaat ikan benar-benar kelaparan.

Menghadapi kemelut ini, Menteri Besar Perak, Dato’Seri Nizar Jamaluddin sewajarnya membubarkan Dewan Undangan Negeri, biarlah semuanya kembali kepada rakyat. Didalam sistem demokrasi, ianya dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat. Dengan menyerah kembali mandat kepada rakyat, segala hiruk pikuk dunia politik di Perak akan kembali tenang dan sekiranya Pakatan Rakyat kembali memerintah negeri Perak ianya akan dapat memerintah dengan cara yang lebih maruah dan bergaya.

Sekurang-kurangnya dengan adanya pilihanraya di DUN Perak, kedua-dua parti yang bertanding iaitu Paktan Rakyat dan Barisan Nasional akan dapat menguji populariti dari aspek yang lebih positif serta mengikut lunas undang-undang. Seandainya selepas pilihanraya ini, Pakatan Rakyat masih dan makin mendapat tempat dihati rakyat, percayalah perjalanan ke Putrajaya akan menjadi lebih mudah.

Khamis, 15 Januari 2009

P.036:Milik SiapaKah Kerusi Ini?

Esok 17 Januari 2009 adalah tarikh keramat bagi penduduk Parlimen Kuala Terengganu kerana sekali lagi diberi peluang bagi memilih wakil rakyat mereka setelah wakil rakyat yang terdahulu dijemput menemui ilahi secara tiba-tiba. Penyertaan calon bebas dalam pilihanraya kali ini dapatlah disimpulkan melukut ditepi gantang, ianya tidak memberi apa-apa kesan terhadap proses pengiraan undi nanti, saya tidak rasa, undi yang akan diperolehi oleh Asharuddin Mohamad, calon bebas yang memakai lambang buku akan melebihi undi yang pernah diperolehi oleh Nenek Maimun, calon bebas didalam parlimen yang sama semasa pilihanraya umum tempohari.

Pertempuran sebenarnya di medan demokrasi diatas padang parlimen Kuala Terengganu adalah diantara dua musuh tradisi pantai timur iaitu parti PAS dan UMNO atau pun Barisan Nasional. Pertandingan kali ini menyaksikan wakil PAS iaitu Abdul Wahid Endut diberi peluang untuk berhadapan dengan calon UMNO Wan Farid bin Wan Salleh. Pada perkiraan saya pengundi Kuala Terengganu kebanyakkan dari mereka tidak berparti. Boleh dikatakan mereka dari golongan berada diatas pagar. UMNO tidak boleh berlapik dada mengatakan Kuala Terengganu adalah kubu kuat mereka, begitu juga dengan PAS, Pengundi Kuala Terengganu terdiri dari mereka yang terpelajar dan sentiasa menilai perkembangan pilihanraya, isu-isu yang diutarakan oleh kedua parti dianalisa dan akan diterjemahkan melalui kertas undi. Itulah pengundi di P36, justeru itu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila kerusi parlimen Kuala Terengganu pernah diwakili oleh 4 parti yang berbeza iaitu, PAS, Semangat 46 , Barisan Nasionaldan juga suatu ketika dulu pernah diwakili oleh Dato’Onn dari Partai Negara.

Amat mengejutkan sepanjang kempen pilihanraya kecil, dapat dilihat perubahan sikap pengundi cina terhadap PAS, penerimaan mereka terhadap parti yang dianggap radikal Islam agak ketara, boleh dilihat sepanjang kempen pilihanraya, pengundi cina yang terdiri daripada golongan muda membawa bendera PAS, mereka juga sudah menjadi sebahagian daripada ribuan pendengar ditempat-tempat ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.senario yang tidak pernah berlaku dan tidak pernah terbayang di minda akan berlaku, Barisan Nasional seharusnya melihat perubahan ini dari sudut lebih serius, mereka tidak boleh memandang enteng perkara ini, 60% undi cina sudah berada dalam tangan PAS berbanding dahulu hanya 35%. Jika keadaan ini berterusan sehingga hari pengundian esok, PAS akan memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu kerana selama ini pengundi cinalah yang selalu menyelamatkan BN.

Pada pengamatan saya sepanjang berada di Kuala Terengganu, terlalu sukar untuk Barisan Nasional mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, walaupun pelbagai taktik dan strategi telah dilakukan oleh pihak UMNO namun keperatusan untuk berjaya amat tipis. Barisan Nasional memerlukan pendekatan baru untuk memujuk rakyat agar terus bersama mereka, budaya rasuah politik setiap kali berlangsung pilihanraya tidak banyak membantu, hanya sekadar menghabiskan wang rakyat dan memenuhkan poket kroni-kroni. Barisan Nasional sebenarnya tidak lagi menjadi parti mesra rakyat, tempat mereka telah diambil oleh Pakatan Rakyat. Najib Razak sepatutnya menyedari perkara ini, banyak janji yang ditabur semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh belum ditunaikan, kini menabur janji pula di Kuala Terengganu.

Kepada pengundi-pengundi Parlimen Kuala Terengganu, kini masa sudah tiba untuk anda membuat pemilihan, pilihan sebenarnya di tangan anda, sebagaimana pengundi Permatang Pauh membuat pilihan untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat, anda juga berhak membuat pilihan yang sama kerana ditangan anda bakal merubah landskap politik negara.

Isnin, 12 Januari 2009

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

Hanya tinggal tidak sampai seminggu lagi, para pengundi di P36 Kuala Terengganu akan memilih salah seorang daripada tiga calon mewakili suara hati mereka di Parlimen. Menyusuri blog-blog politik, sepanjang tempoh kempen, kita akan dapati keadaan seolah-olah memihak kepada calon daripada PAS. Blog-blog yang diterajui oleh pendokong Barisan Nasional khususnya daripada UMNO nampaknya kelayuan dan kekeringan modal didalam mematahkan hujah-hujah yang diutarakan oleh blogger daripada Pakatan Rakyat. Mungkin mereka yang didalam parti kerajaan masih lagi terleka dan tidak menyedari internet adalah medium baru dan penting masyarakat Malaysia mencari maklumat. Sebenarnya bukan sedikit laman web yang pro kerajaan telah diwujudkan selepas keputusan pilihanraya ke12, namun ianya tidak diselenggarakan dengan baik serta tidak dikemaskini, kalau ada pun, tiada hujah-hujah kukuh yang dilontarkan agar pengundi dapat membuat penilaian yang adil terhadap sesuatu isu.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat khususnya PAS dan PKR sentiasa mendahului, bloggers daripada kedua-dua parti sentiasa mengisi blog-blog mereka dengan isu-isu terkini dan relevan, para pengundi yang menjengok blog mereka sudah pasti mempercayai intipati maklumat tersebut seandainya isu-isu yang dikemukakan gagal dijawab oleh pihak kerajaan.

Pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu sebenarnya amat penting bagi kedua pihak yang bertanding. UMNO sama sekali tidak boleh kehilangan kerusi tersebut demi maruah dan moral yang semakin jatuh hasil daripada penolakkan rakyat. Hakikat ini seharusnya dilihat UMNO dengan hati yang terbuka. UMNO tidak perlu berselindung, realitinya setelah sekian lama memerintah negara, banyak kepincangan telah dihidu oleh rakyat. Rakyat telah melontarkan suara hati mereka melalui undi agar pihak kerajaan menyedari dan bersikap lebih perihatin terhadap kebajikkan rakyat. UMNO bukan saja memerlukan perubahan tetapi wajib untuk berubah.

PAS pula amat memerlukan kemenangan didalam pilihanraya kecil ini, selain tidak mahu dipandang rendah oleh rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, Kemenangan itu nanti akan menjadi penanda aras kekuatan parti di negeri Terengganu. Kemenangan calon PAS juga akan menutup dakyah dan tohmahan BN khususnya UMNO bahawa isu hudud telah menyebabkan golongan cina berada didalam ketakutan dan tidak mengundi PAS. Paling penting Pakatan Rakyat tidak berpecah hanya kerana beberapa dasar yang menjadi pencanggahan pendapat sesama sendiri.

Walauapapun keputusannya nanti, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian, kita mengharapkan medan pilihanraya ini bukanlah satu pentas untuk kita menunjukkan lagak. Berilah peluang kepada para pengundi di P36 Kuala Terengganu keluar mengundi dalam keadaan yang baik dan tanpa takut. Merekalah yang sebenarnya penentu kepada kemenangan calon tetapi jangan lupa kitalah yang memberi mereka petunjuk siapa yang sesuai menjadi pilihan mereka.

Selamat Mengundi